Friday, 25 April 2014

MusliMAT 'MAT' Untuk Lelaki

Aku lihat sahabatku terdiam seketika. Aku baharu sahaja selesai menerangkan isi-isi usrah pada petang tadi kepadanya. Ya, sahabatku adalah ahli baru dalam usrah. Alhamdulillah. Kelihatannya dia bersungguh-sungguh sekali mahu mendalami ilmu agama. Jadi, seperti biasa, setelah selesai usrah bersama kakak naqibahku yang comel, aku akan mengulas kembali kepada sahabatku itu. Khuatir dia tidak mengerti.

Aku tersengih kearahnya mengharapkan dia faham, namun tiada balasan. Terkebil-kebil mata bulatnya memandangku. Senyumku mati dek kehairanan.

"Hmm, kenapa Ana? Ada masalah ke? Faham tak semua yang Ika terangkan tadi?"Wajah lembutnya kutatap. Angin dingin menderu perlahan melalui tingkap menyegarkan wajah kami.

"Tak. Tiada apa-apa lah. Cuma saya pening sikit dengan istilah-istilah yang Ika guna. Rasanya tadi Ika banyak cakap pasal lelaki." lembut sekali suaranya meluahkan isi hati yang terbuku.

Hoh! Terlopong seketika diriku. Bila masa pula aku bercakap pasal lelaki. Apakah sahabatku kurang mengerti tutur bicara ku. Tak boleh jadi ni. Huu..mungkin silapku sendiri. Siapalah aku. Aku bukan ustazah yang mahir menutur bicara. 

"Eh! Erkk.. Sekejap. Rasanya Ika tiada sebut pasal lelaki pun tadi. Hmm mungkin Ana salah faham kot. Ngeh2."Berhati-hati sekali aku menutur bicara agar sahabatku itu tidak terguris. Sesekali dibetulkan lipatan tudung yang terbuka dek tiupan angin.

"Oh! Yeke. Hmm..mungkin juga saya yang tidak faham. Tapi tadi saya dengar Ika asyik sebut muslimat-muslimat. Muslimat tu lelaki kan? Sebab ada 'MAT' kat belakang dia. Mat kan gelaran untuk lelaki."Tanda tanya terlerai seketika.

Krit!Krit!Krit! Tiba2 cengkerik terbang kedalam otakku. Entah dari mana datangnya. Aku merenung sepi sahabatku. Otakku membeku seketika dengan otot-otot perutku menegang. Sahabatku turut memandangku dengan muka seposen yang seharusnya tidak bersalah.

Mukaku semakin pucat menahan rasa,sehingga akhirnya aku rebah kelantai. Gelak besar terhambur. Kit Kit Kit! Kui Kui Kui! Kih Kih Kih! Terasa sakit perutku menahan geli hati. Sehingga kebawah katil tergolek.

Seketika kemudian aku tersedar. Mengucap panjang diri ini. Aku kembali berdiri menatap sahabatku yang setia memandangku tanpa sebarang reaksi. Hairan barangkali melihat diriku yang tergelak tanpa sambutan. Kuheret kerusi kayu yang buruk menghampirinya lantas aku duduk. Aku memandangnya dengan serius kembali.

"Maafkan saya. Muslimat sebenarnya gelaran untuk perempuan. Muslimin untuk lelaki. Maaflah Ika tak pandai nak terangkan lebih lanjut kepada Ana. Kalau nak tahu lebih lanjut nanti kita tanya kakak naqibah kita. Ana kalau tidak faham sesuatu time usrah terus tanya tau. Alhamdulillah sekurang-kurangnya kamu mendapat ilmu baharu hari ini wahai sahabatku."Aku memperjelaskan kepada Ana.

"Oh!"Kulihat dia mula mengerti. Senyuman mula terkoyak dari bibirnya sebelum kami tergelak kecil.

"Ok jom bedal roti canai kat Hafa."Aku mengheret tangannya laju.



Biar orang bilang kita bodoh hari ini kerana bertanya soalan leceh, tapi jangan sampai kita jadi bodoh selama-lamanya kerana malu bertanya.







No comments:

Post a Comment