Friday, 16 May 2014

Experience!!

PRENGGG! PRENGG! Yah! Angin menderu-deru laju melawan arus. Aku terus memecut kencang dengan girang sekali. Jalan kampung yang tidak banyak kenderaan lalu lalang semakin menggalakkan aku memecut semaksimum mungkin. Tudungku sudah terjelepek tanpa rupa dan mungkin kelihatan hodoh sekali digoncang angin yang keras. Motosikal buruk ini berjaya mengujakan akudengan hanya bertemankan sawah padi yang melentok-lentok malas serta burung-burung raja udang yang setia menanti habuan dari tali air diatas tiang api. Aku terus memecut.

Dek kerana terlalu laju hampir sahaja aku melepasi selekoh kerumahku. Brek tangan kucengkam keras sambil sepantas mungkin aku membelok kekanan dengan segala kudrat yang terkumpul. Motosikal membelok dengan keadaan sangat rapat kejalan tar. Terasa seperti di dalam filem drift melayu. Apakah akan terjadi padaku!!

Batu-batu halus yang bertaburan diselekoh itu akhirnya berjaya menyembamkan aku kejalan tar bersama-sama motosikalku yang berpusing penuh dramatik seketika menghasilkan bunyi geseran yang kuat. Aku bungkam dan terkedu. Nafasku rancak turun naik. Motosikalku berhenti berputar begitu hampir dengan penjuru jalan dimana dibawahnya terserlah  garang tali air yang kontang tanpa air. Andai aku jatuh kebawah sana.. Fuhh! Nahas.


Aku pantas menegakkan motosikal itu memandang sekeliling. Adakah sesiapa melihat peristiwa memalukan ini? Semestinya ada. Ohh tidak! Beberapa orang kanak-kanak yang sedang bermain ditepi sebuah pondok berdiri dan menjenguk-jenguk cemas.

Ahhh budak jangan tengok aku! Bukan mahu tolong pun. Humiliate! Humiliate! Utterly humiliate. Sebuah motosikal berhenti berhampiran. Jiran aku.

"Eh kamu rupanya! Kenapa ni? Boleh naik motosikal ke tak ni?" Jiranku itu bertanya penuh prihatin. Namun keprihatinannya itu berjaya membuak-buakkan lagi perasaan malu ini.

"Oh Kak Senah! Ehee. Takdelah. Takde apa-apa pun. Jatuh sikit je ni. Dah biasa dah. Aha aha aha! Ok lah saya balik dulu." Aku cuba menutup rasa malu itu dan mengharapkan aku memiliki jubah halimunan Harry Potter pada saat itu. 

Sesungguhnya hanya rasa malu yang bermaharajalela di jiwa. Tiada rasa sakit yang aku alami sehinggalah tiba diperkarangan rumah. Aku dapati seluarku dibahagian lutut terkoyak dengan lumuran cecair melekat dibahagian tersebut. Cecair apakah? Tumpahan minyakkah? Meleset tanggapanku. Rupanya darah  merah sudahpun mengalir laju dari bahagian lututku itu tanpa aku sempat merasai kesakitan.

Peristiwa ini harus disembunyikan dari pengetahuan isi rumah ini.Ya! Semestinya. Sekiranya tidak sudah tentu aku tidak dibenarkan membonceng motosikal lagi. Aku melalui pintu hadapan rumah memandangkan semua orang kelihatannya enak bersantai didapur. Segera aku cuci luka dan menukar pakaian. Darah yang mengalir pula tidak berhenti. Bagaimana aku mahu solat. Aduh!

Aku hampiri saudara lelakiku yang sentiasa sibuk dengan smartphonenya.

"Nak tanya. Ehem! Kalau kita berdarah macam mana mahu solat? Maksud aku luka." berhati-hati aku bertanya agar tidak mendatangkan rasa curiganya.

"Balut je lah luka tu. Jangan bagi darah mengalir. Tak pun biarkan luka tu kering." Sekilas dia memandang kearahku sambil menjawab.

"Ooo! Macam tu ke. Tapi kenapa erk?" Soalanku disambung lagi.

"Eh kau ni. Tak belajar fardhu ain ke semasa di sekolah rendah. Darah tu kan najis. Najis tu benda yang mendatangkan penyakit." Saudaraku itu memandangku malas.

"Jadi semua benda yang mendatangkan penyakit tu najis ke? Rokok?" Bertalu-talu aku bertanya. Semakin banyak saudaraku menjawab, semakin banyak persoalan terkumpul.

"Hesh! Tak semestinya. Fikir logik la sikit. Contohnya kau. Kau bukannya najis. Tapi kau mendatangkan penyakit kepada aku. Jangan dekati aku penyakit." Saudaraku mula memberi jawapan merapu kepadaku. Mungkin teramat malas melayan karenahku. Sungguh menyedihkan.

"Mengarut. Baru tanya sikit dah merapu." Aku mencebik lantas berlalu dari situ.

Tidak lama kemudian saudaraku pula menghampiriku.

"Oih! Kenapa motosikal susah nak bawa. Kau ada jatuh ke?" Diajukan soalan penuh curiga, gaya seorang anggota polis sedang menyoal siasat seorang perompak bank.

" Oh mungkin jatuh kot. Motosikal tu kan sudah buruk." Aku menamatkan perbualan.

Malu, takut, sakit, berdebar. Semua aku rasai pada hari itu. Namun perasaan yang paling aku rasai adalah gembira. Kerana itu merupakah pengalaman pertamaku terlibat dalam kemalangan. Haha.

Akhir kata saya ucapkan tahniah kepada sesiapa yang berjaya menatap coretan buruk saya ini sehingga habis. Sedangkan saya teramat malas untuk menulis dan tiada sekelumit idea puitis mengalir dalam benak. Pada saat ini kalian mungkin merasakan loya di tekak membaca penulisan hodoh ini. Segeralah berlari kesinki untuk muntah. Haha maafkan saya .




No comments:

Post a Comment