Monday, 5 May 2014

Sayonara. . Farewell

Setiap insan tentu impikan untuk menjadi baik. Kau. Aku.

Walau sejahat mana hamba Allah itu. Walau bibir kencang menyumpah seranah. Walau serancak mana tangan melakukan kemungkaran, rakus memunahkan kesucian bumi dan agama. Namun jauh di sudut hati tentu terdetik walau senoktah rasa ingin menjadi baik. Mungkin pada ketika itu belum bangkit rasa untuk menjadi muslim yang sejati. Belum digoncang lagi rasa untuk menjadi pembela agama.

Ya. Lihat sahaja. Bukan semua muslim yang menjadi pembela agama pada hari ini asalnya daripada golongan agamawan. Yang membukukan harapan dan kecintaan kepada agama Allah. Asal usul mereka merata dengan pelbagai kisah kelam dibelakang mereka yang tidak mahu lagi ditapakkan langkah kebelakang. Sekali sekala ditoleh sekilas kebelakang untuk mengingatkan diri bahawa bertapa perit dan pedihnya jahiliah itu.

Aku bicarakan ini soal peluang yang dibuka untuk mereka berubah. Aku dan kamu juga wahai manusia yang memiliki secebis iman di dada. Sedap jika aku bahasakan sebagai kami. Merujuk juga kepada diriku dan kita sebagai satu pihak.

Kami hulurkan sekalung terima kasih yang tidak dapat digambar kepada mereka yang memberi kami peluang. Menunjukkan kami jalan. Bahkan mereka yang menghulurkan kami lampu suluh yang bermentol malap setelah tersadung dalam kegelapan yang menyesakkan. Sehingga kami terlihat cahaya yang terang dihujung sana.

Dan.

Sayonara jahiliah.

Jangan menjengah lagi.

No comments:

Post a Comment